STAR kekal sebagai pembangkang

KOTA KINABALU 2 Dis. – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menang dua kerusi pada pilihan raya baru-baru ini menegaskan pendirian untuk kekal sebagai pembangkang dan bukan sebahagian daripada kerajaan yang dibentuk bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya kekal dengan pendirian bahawa Sabah perlu ditadbir oleh parti-parti tempatan dan bukan parti nasional.

“STAR ingin menjelaskan pendirian berikutan pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

“STAR tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS. Pendirian kami kekal tidak berubah – Sabah mesti ditadbir oleh parti-parti tempatan, bukan oleh gabungan yang bergantung kepada pengaruh parti dari Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai pelantikan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada STAR, beliau menjelaskan bahawa pelantikan Mohd Ishak Ayub sebagai Pembantu Menteri adalah atas lantikan terus oleh Ketua Menteri.

“Ia bukan jawatan yang dirundingkan oleh parti. Beliau ialah wakil rakyat Bingkor dan kami menghormati prerogatif beliau untuk menerima pelantikan tersebut,” katanya.

Tegasnya, STAR akan bertindak sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, menyokong dasar-dasar yang melindungi Sabah, dan menentang sebarang langkah yang menjejaskan MA63, Perlembagaan, atau perjuangan panjang untuk Sabah demi rakyat Sabah.

“Pendirian kami adalah konsisten dan teguh. Kami menyokong kerajaan negeri yang dibentuk sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah. Apa-apa yang kurang daripada itu melemahkan kuasa tawar-menawar dan masa depan Sabah.

STARSABAH akan meneruskan tugasnya dengan integriti, disiplin, dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment