Shamsul jumpa SPRM Jumaat

PUTRAJAYA 27 Nov. – Shamsul Iskandar Mohd Akin, akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, petang esok, berhubung dakwaan menerima wang daripada ahli perniagaan, Albert Tei.

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu dilaporkan sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini, tetapi beliau mempunyai urusan di Sabah dan tidak sempat pulang,

Shamsul Iskandar adalah seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video perbualan antara seorang wanita dan Albert.

Wanita berkenaan, dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, sudah hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 2 petang ini manakala Albert pula dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan pada Isnin ini.

Sofia ditemani peguamnya, Shugan Raman.

Sementara itu tular video memaparkan Sofia menafikan dakwaan dia bertindak sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar, selain menolak tuduhan wujud arahan daripada dirinya atau Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kepada Albert Tei untuk merakam perbualan beberapa ahli politik Sabah.

“Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar. Saya juga ingin memberi penjelasan bahawa saya tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan PM berhubung dakwaan dibuat Albert,” katanya dalam video tular itu.

Sofia turut menjelaskan, dia tidak pernah ada sebarang perbincangan antara dirinya dan Shamsul mengenai tindakan Albert Tei berkaitan proses permohonan lesen-lesen perlombongan.

Related posts

Leave a Comment