KUALA LUMPUR 26 Nov. – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dr Shamsul Anuar Nasarah memberitahu Dewan Rakyat, seramai 24 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipecat kerana kesalahan rasuah dalam tempoh tiga tahun lalu.
Beliau memberitahu, pemecatan itu dibuat antara Januari 2023 hingga Oktober 2025, yang menggambarkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh integriti dalam PDRM.
“Lapan orang dibuang kerja pada 2023, diikuti empat pada 2024, manakala 12 dipecat antara Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya pada penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi KDN hari ini.
Shamsul Anuar, berkata kementerian mempertingkat mekanisme pemantauan dalaman bagi membendung salah laku, termasuk Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tahunan dan pemantauan gaya hidup oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Katanya, satu sistem pencegahan rasuah PDRM yang bersepadu juga sedang dibangunkan untuk mengesan, mencegah dan memantau risiko rasuah di semua peringkat dalam pasukan.
“Menerusi beberapa bengkel, 43 risiko rasuah dikenal pasti melalui Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRA),” katanya.
Beliau berkata, aduan awam mengenai salah laku polis boleh dikemukakan terus kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), yang menyiasat kes secara bebas.
Shamsul turut menegaskan, walaupun ada pegawai yang dihukum atas salah laku, majoriti warga polis tetap memegang etika profesional yang tinggi.
“Pada 2025 saja, seramai 41 pegawai polis menerima sijil pengiktirafan ‘Tolak Rasuah’, membuktikan ramai dalam pasukan mengekalkan integriti yang tinggi,” katanya.
