KUALA LUMPUR 11 Okt. – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik inisiatif kerajaan mempermudahkan urusan ibadah haji termasuk meningkatkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi tujuan menunaikan ibadat haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad, berkata kemudahan tambahan yang diperkenalkan menerusi Belanjawan MADANI 2026 diumumkan semalam diyakini dapat membantu bakal jemaah mencukupkan simpanan bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Katanya, inisiatif itu juga selari dengan usaha TH yang giat meningkatkan kesedaran pendeposit untuk menambah jumlah simpanan bagi melancarkan urusan ibadah haji.
“TH berharap sokongan kerajaan dalam mengukuhkan kepentingan bakal haji dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu perjalanan ibadat haji yang mabrur.
“Belanjawan 2026 membuktikan aspirasi kerajaan untuk mengagihkan hasil manfaat kepada rakyat menerusi keutamaan kebajikan yang diberikan kepada golongan layak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, bagi penjawat awam pula , kemudahan pengeluaran Gantian Cuti Rehat diperluas bagi tujuan menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta,” katanya
