SHAH ALAM 25 Nov. – Menteri Besar, Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal menerajui kepemimpinan negeri itu sehingga penggal pentadbiran tamat dan, tiada rombakan barisan Exco akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata dengan berbaki setahun untuk menamatkan penggal yang ada ini, rombakan Exco memerlukan masa.
“Setakat ini tidak ada lagi idea atau sebarang bayangan untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini.
Amirudin juga menjelaskan, nama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang disebut sebagai calon Menteri Besar hanyalah cadangan dan perlu dibincangkan selain perlu mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sekarang ini kita lontarkan sebagai satu pilihan. Jadi kalau pilihan itu diterima, Alhamdullillah. Kalau tidak mungkin kita perlu kenal pasti alternatif lain.
“Selain itu, semua exco kita layak antaranya Najwan (Mohd Najwan Halimi, Fahmi (Dr Mohamad Fahmi Ngah), Borhan (Datuk Borhan Aman Shah) dan Izham (Datuk Izham Hashim) pun layak untuk (menjadi Menteri Besar),” katanya.
Amirudin berkata, perancangan bagi perubahan jawatan penting dibuat secara terancang dan bukan secara tergempar.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Selangor pada masa ini perlu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menjadi syarat utama sebelum sebarang perbincangan mengenai jawatan untuk mentadbir pada penggal seterusnya dibuat.
Media sebelum ini melaporkan, Amirudin mengakui telah mencadangkan Nurul Izzah dilantik bagi menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Menerusi program audio siar “Keluar Sekejap” yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini Amirudin berkata, cadangan itu pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau sebaliknya.
