Mamdani: Pandangan Trumph berubah

WASHINGTON – Presiden Donald Trump, menyatakan beliau tidak mempunyai masalah untuk tinggal di New York sekiranya bandar itu berada di bawah pentadbiran Datuk Bandar Zohran Mamdani.

Katanya, beliau benar-benar selesa, terutamanya selepas pertemuan dengan datuk bandar baharu itu di Oval Office, White House.

Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan pendirian Trump semasa kempen Datuk Bandar New York sebelum ini, apabila beliau berulang kali mengugut untuk menarik balik dana persekutuan sekiranya Mamdani menang.

“Saya fikir anda akan mempunyai seorang Datuk Bandar yang hebat. Lebih baik beliau lakukan tugasnya, lebih gembira saya,” ujar Trump.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu turut menegaskan, beliau sependapat dengan Mamdani dalam banyak perkara, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa isu.

Malah, beliau mengakui bersetuju dengan Senator Bernie Sanders, seorang sosialis demokrat, dalam lebih banyak perkara berbanding apa yang disangka ramai.

Spekulasi mengenai kemungkinan berlaku ketegangan semasa kunjungan Mamdani ke White House ternyata meleset apabila Trump dilihat mesra sepanjang pertemuan di Oval Office.

“Kami akan membantu beliau,” kata Trump sambil menambah, “Kami bersetuju dalam lebih banyak perkara daripada yang saya sangka.”

Apabila ditanya mengenai kenyataan terdahulu yang melabel Mamdani sebagai ‘komunis’, Trump menjawab ringkas bahawa pandangannya kini telah berubah.

“Sebahagian pandangan saya telah berubah,” katanya. “Saya yakin beliau mampu melakukan tugas dengan baik.”

Sepanjang sesi soal jawab bersama media, Trump beberapa kali menyatakan sokongan terhadap Mamdani, malah dilihat menepuk lengan Mamdani sambil berkata tidak mengapa jika beliau digelar ‘kejam.’

“Saya pernah dipanggil jauh lebih teruk daripada kejam,” seloroh Trump.

Related posts

Leave a Comment