Malaysia tinggal peta jika tulang Persekutuan ‘retak’

KUALA LUMPUR 21 Nov.  – Parti Pesaka Bumiputera (Putra) mendakwa corak kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah, bukan lagi untuk menghadapi pilihan raya sebaliknya seumpama referendum kewujudan Malaysia.

Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, ini dapat dilihat melalui kempen Sabah First, tolak Semenanjung atau orang luar serta bermacam tuntutan dalam menifesto dan kempen kebencian berapi-rapi untuk menarik undi  rakyat.

“Kesan ini amat bahaya baik jangka pendek atau panjang bagi keutuhan suatu Bangsa Negara Malaysia.  Ini bukan soal siapa jadi Ketua Menteri. Ini soal Malaysia kekal 13 negeri atau Malaysia mula berpecah satu demi satu,” katanya.

Ibrahim mendakwa perkembangan mutakhir politik Malysia Timur dengan slogan Sabah First, Sarawak First adalah ayat paling berbahaya sejak 1963 kerana ia bukan suara bangga, hak dan maruah tetapi strukur negara yang sedang retak menanti pecah.

Beliau bimbang tindakan negeri-negeri lain setelah Sabah mengawal minyak, Sarawak kawal gas, Johor mungkin tuntut sempadan imigresen, Pulau Pinang tuntut autonomi fiskal atau Selangor mahu undang-undang sendiri.

Justeru dalam satu kenyataannya, beliau mengingatkan jika Sabah memilih dengan kempen semangat negeri yang berlebihan, ia akan  merebak seperti barah ke seluruh negara.

“Ada detik dalam sejarah di mana sebuah negara tidak jatuh melalui perang, tidak jatuh melalui rusuhan, tidak jatuh melalui kudeta.

Ada negara jatuh kerana pemimpinnya sendiri membuka pintu runtuhan perlahan-lahan setiap hari tanpa sedar. Dan Malaysia berada tepat di ambang itu. Malaysia kini seperti telur di hujung tanduk yang menanti pecah bila-bila masa,” katanya.

Tegasnya, Malaysia  hanya akan tinggal peta, bukan lagi negara jika ‘retak’ itu melibatkan tulang belakang Persekutuan.

“Hari ini Sabah, esok Sarawak, lusa ada lain negeri. Tidak menjadi soal jika suara bangsa Johor sekadar untuk mengukuh semangat perpaduan rakyat negeri dan bukan untuk meretak kerangka dan menggugat keutuhan Persekutuan.

Tetapi jika sebaliknya ini boleh disifatkan penderhakaan  kepada Negara Bangsa dan Institusi Yang di-Pertuan Agung sebagai tonggak Negara Persekutuan,” katanya.

Ibrahim juga menegaskan, kemiskinan Sabah dan Sarawak bukan disebabkan Kuala Lumpur sebaliknya yang memiskinkannya elite atau pemerintah negeri itu, kleptokrat wilayah yang hebat silih berganti, kuasa yang hidup atas penderitaan rakyat.

“Kalau mereka benar-benar “first”, kenapa Sabah juara termiskin,  Sarawak gaji paling rendah walaupun empayar balak dan bermacam sumber kekayaan di bawah kuasa negeri. Bawah kaki sendiri.

Kenapa penduduk pedalaman masih berjalan tiga jam nak dapat rawatan? Siapa perintah Sabah enam dekad? Siapa perintah Sarawak sejak zaman dahulu. Kemiskinan bukan kerana MA63 tidak dilaksana tetapi soal amanah dan Integriti.

Kepemimpinan silih berganti menimba kekayaan diri dan keluarga, bukan perjuangan rakyat tetapi kepemimpinan menghalalkan cara untuk diri, keluarga dan kumpulan yang berkuasa. Ianya kerakusan kuasa tanpa semak dan timbang,” katanya.

Ibrahim juga menyentuh mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang didakwanya memang mewarisi peninggalan kleptokrat dulu.

“Janji reformasi PMX gagal 100 peratus, PMX bermain politik untuk mendapat sokongan demi survival politiknya walaupun tunjang negara bangsa tergugat, menjadi pemangkin keretakan lebih luas, mendalam serta kebencian terhadap Semenanjung atau Kuala Lumpur lebih buruk.

Inilah persoalan yang orang lain mungkin tidak berani sebut sebab semua pihak play safe atau main selamat,” katanya sambil mengingatkan PMX akan meninggalkan kesan perpecahan dan kebencian yang akan berlaku selepas beliau hilang kuasa.

Beliau juga mendakwa, PMX melonggarkan setiap skru Persekutuan dengan tangan sendiri, tunduk kepada Sabah dan Sarawak kerana takut hilang kerusi dan kuasa, takut kerajaan runtuh dan kehilangan sokongan Borneo.

“Kita bukan menuju Federalisme. Kita menuju Confederation. Dan Confederation selalu berakhir dengan perpecahan. Kuching kini bertindak seperti pusat negara kedua. Sabah mula buat dasar sendiri. Ekonomi wilayah dilepaskan dari pusat.

Elite negeri bercakap seolah-olah Malaysia “perlukan mereka”, bukan sebaliknya. Ini bukan masa depan. Ini kerosakan yang sedang berlaku,” katanya.

Katanya, sebagai Presiden Putra, beliau wajib bersuara sebelum keadaan menjadi lebih parah sambil mengingatkan Malaysia tidak runtuh kerana musuh luar sebaliknya Malaysia runtuh kerana pemimpinnya sendiri.

“Ada satu sahaja jalan keluar dan ia pahit iaitu “Malaysia First.” bukan Sabah first bukan Sarawak first bukan  Johor first, buka Kedah first, bukan negeri first tetapi Malaysia first,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment