KUALA LUMPUR – 20 Nov. – Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan seramai 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin, hamil sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Nancy Shukri, berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah membendung isu berkenaan menerusi pelbagai inisiatif.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling, sokongan komuniti serta membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI).
“Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif, serta melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari 2020 hingga kini dan langkah untuk mencegah serta mengatasi isu itu.
Nancy memaklumkan secara keseluruhan, sejumlah 41,842 kehamilan remaja direkodkan sepanjang tempoh 2020 hingga 2024, merangkumi mereka yang sudah berkahwin.
“Daripada jumlah itu, separuh membabitkan remaja Melayu, diikuti Iban (11 peratus), Orang Asli di Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya kumpulan etnik lain,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), beliau secara peribadi berpendirian kanak-kanak bawah umur yang terbabit dalam hubungan seksual suka sama suka, perlu dilindungi serta dipulihkan, bukannya dihukum.
Doris Sophia mahu tahu sama ada KPWKM akan mempertimbangkan cadangan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, supaya perempuan bawah umur yang terbabit dalam hubungan seksual suka sama suka turut dikenakan tindakan undang-undang.
Nancy menjelaskan bahawa peruntukan undang-undang sedia ada juga menetapkan mana-mana lelaki, tanpa mengira umur, yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bawah umur, dianggap sebagai merogol walaupun ia berlaku atas kerelaan.
“Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung pada tindakan undang-undang semata-mata.
“Tahap kematangan mereka perlu diambil kira di mana seorang kanak kanak kebiasaannya tidak dapat menilai kesan daripada kelakuan atau tindakan mereka, terutama implikasi jangka panjang.
“Jadi, kanak kanak harus diberikan peluang serta ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang,” katanya.
Nnnn
