Pendapatan pelaburan KWSP RM63.99 bilion

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi suku ketiga sahaja, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan berjumlah RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus daripada RM19.67 bilion pada suku ketiga tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan jumlah pendapatan pelaburan serta dalam aset di bawah pengurusan adalah hasil pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP mengambil peluang daripada pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’. 

Kami yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang merangkumi 61% portfolio KWSP, di samping melaksanakan strategi pelaburan global yang menyumbang 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau bagaimanapun berkata, KWSP akan terus berhati-hati memasuki suku keempat, memandangkan penilaian pasaran ekuiti global yang semakin tinggi serta petunjuk ekonomi antarabangsa yang tidak konsisten boleh menjejaskan kadar penurunan faedah.

Katanya, KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada suku keempat.

Beliau juga memberitahu, sepanjang suku tahun yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan menjana RM16.95 bilion, atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Walaupun sedikit menurun daripada RM18.35 bilion yang dicatatkan pada S3 2024, prestasi ini menunjukkan pemulihan berbanding prestasi yang lebih sederhana pada suku pertama dan suku kedua 2025.

Pertumbuhan pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut membolehkan pengurus dana KWSP memanfaatkan peluang pasaran dan mengambil keuntungan.

Katanya, instrumen Pendapatan Tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal dengan menjana RM6.75 bilion, atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun tersebut.

Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan membantu mengimbangi turun naik pasaran jangka pendek, sekali gus menyokong kestabilan keseluruhan portfolio.

Dalam pada itu hartanah dan Infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion (4%), manakala Instrumen Pasaran Wang pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.23 bilion (1%).

Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2025, sebanyak RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan. Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, iaitu 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment