Jumlah caruman sukarela KWSP meningkat

KUALA LUMPUR 17 Nov . – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan jumlah caruman sukarela sebanyak 47.5 peratus kepada RM15.30 bilion pada sembilan bulan 2025, berbanding RM10.37 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama itu, jumlah ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup (dahulunya dikenali sebagai Voluntary Excess) ialah 231,034, berbanding 172,829 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan KWSP berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 427,329 ahli baharu didaftarkan, menjadikan jumlah keseluruhan ahli meningkat kepada lebih 16.5 juta.

“Daripada jumlah itu, 9.07 juta ialah ahli aktif, mewakili 51.7 peratus daripada 17.54 juta tenaga buruh setakat September 2025. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 untuk sembilan bulan 2025,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran majikan baharu mencapai 62,401, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP sebanyak 628,321 setakat September 2025.

“Dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion, berbanding RM25.20 bilion pada suku ketiga 2024,” katanya.

KWSP berkata berikutan pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula dengan gaji Oktober 2025, ia giat menangani keperluan peralihan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya.

“KWSP kekal komited untuk menjalinkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan memastikan peralihan berjalan lancar melalui panduan dan sokongan berterusan,” katanya.

Caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara Malaysia adalah mandatori, dengan kadar caruman ditetapkan sebanyak dua peratus untuk majikan dan pekerja.

Pendaftaran ahli kini dibuat secara automatik oleh KWSP bagi pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian yang sah.

Related posts

Leave a Comment