GENEVA – Penyakit batuk kering atau tuberkulosis (Tibi) meragut kira-kira 1.23 juta nyawa tahun lalu, kekal sebagai pembunuh berjangkit utama dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melaporkan demikian memberi amaran bahawa kemajuan dalam memerangi penyakit itu masih rapuh.
Berdasarkan laporan tinjauan tahunan WHO yang dikeluarkan semalam, angka kematian akibat penyakit tibi berkurangan sebanyak tiga peratus berbanding 2023, manakala kes jatuh hampir dua peratus.
Dianggarkan 10.7 juta orang di seluruh dunia dijangkiti penyakit itu pada 2024, iaitu 5.8 juta lelaki, 3.7 juta wanita dan 1.2 juta kanak-kanak.
Penyakit tibi yang boleh dicegah dan dirawat, disebabkan oleh bakteria yang lazimnya menyerang paru-paru. Ia tersebar melalui udara apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin atau meludah.
Ketua Jabatan HIV, TB, Hepatitis dan Jangkitan Seksual WHO, Tereza Kasaeva berkata, hanya dengan komitmen politik, pelaburan berterusan dan perpaduan global boleh mengubah keadaan dan menamatkan penularan penyakit itu secara berterusan.
Pembiayaan untuk memerangi penyakit ini terbantut sejak 2020 dan tahun lalu, hanya AS$5.9 bilion (RM27.7 bilion) tersedia untuk pencegahan, diagnosis dan rawatan – jauh tersasar daripada sasaran AS$22 bilion (RM103.2 bilion) setiap tahun menjelang 2027.
“Tahun lalu, lapan negara menyumbang kepada dua pertiga daripada kes tibi global iaitu, India (25 peratus), Indonesia (10 peratus), Filipina (6.8 peratus), China (6.5 peratus), Pakistan (6.3 peratus), Nigeria (4.8 peratus), Republik Demokratik Congo (3.9 peratus) dan Bangladesh (3.6 peratus).
“Lima faktor risiko utama yang mendorong wabak ini ialah kekurangan nutrisi, jangkitan HIV, diabetes, merokok dan masalah penggunaan alkohol. Tibi juga pembunuh utama bagi penghidap HIV, dengan angka kematian sebanyak 150,000 tahun lalu,” katanya.
Pada 2024, seramai 8.3 juta orang didiagnosis baru dengan penyakit tibi dan mendapat rawatan. Ini adalah rekod tertinggi, yang disifatkan WHO sebagai kejayaan dalam mencapai lebih ramai individu yang menghidap penyakit itu.
Tahun lalu, kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 68 peratus kepada 71 peratus. WHO menganggarkan rawatan penyakit tibi yang tepat pada masanya menyelamatkan 83 juta nyawa sejak tahun 2000.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pula berkata, kemajuan dalam ujian, rawatan, perlindungan sosial dan penyelidikan berkaitan penyakit itu adalah berita baik tetapi ianya masih belum mencukupi.
“Hakikat bahawa penyakit tibi terus meragut lebih sejuta nyawa setiap tahun, walaupun ia boleh dicegah dan dirawat, adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Nnn
