ROME – Berjuta-juta orang di seluruh dunia terutama di beberapa negara berdepan berisiko menghadapi kebuluran, dengan kekurangan dana menjadikan keadaan semakin teruk.
Laporan bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Dunia (WFP) memaklumkan, peperangan dan keganasan menjadi punca utama masalah kekurangan makanan serius di kebanyakan negara yberisiko tinggi.
Antara negara yang paling terjejas dan berdepan risiko kebuluran besar-besaran dalam masa terdekat adalah Haiti, Mali, Palestin, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman.
Turut berada pada tahap kebimbangan tinggi termasuk Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Myanmar, Nigeria, Somalia dan Syria di samping Burkina Faso, Chad, Kenya serta pelarian Rohingya di Bangladesh turut disenaraikan.
Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain, berkata dunia kini berada di ambang bencana kebuluran besar yang sebenarnya boleh dielakkan.
“Kegagalan bertindak segera hanya akan membawa kepada lebih banyak ketidakstabilan, penghijrahan serta konflik,” katanya.
Laporan itu menjelaskan bahawa bantuan kemanusiaan masih kekurangan dana.
Setakat ini, hanya AS$10.5 bilion (RM43.3 bilion) diterima daripada jumlah keseluruhan AS$29 bilion (RM119.5 bilion) yang diperlukan untuk membantu mereka yang berisiko.
Disebabkan kekurangan dana, WFP terpaksa mengurangkan bantuan kepada pelarian dan mangsa perpindahan, serta menghentikan program makanan sekolah di beberapa negara.
FAO pula memberi amaran bahawa usaha melindungi sektor pertanian terjejas, sedangkan ia penting untuk menstabilkan bekalan makanan dan mencegah krisis berulang.
Agensi itu menegaskan dana tambahan diperlukan untuk menyediakan benih dan rawatan kesihatan ternakan, sebelum musim menanam bermula atau kejutan baharu berlaku.
Nnn
