Penipu di Singapura bakal disebat

SINGAPURA – Hukuman sebat mandatori sekurang-kurangnya enam kali akan dikenakan terhadap pesalah penipuan selepas Akta Undang-Undang Jenayah (Pelbagai Pindaan) diluluskan di Parlimen semalam, 4 November 2025.

Mereka yang akan dihukum sebat termasuk anggota sindiket dan perekrut, serta individu yang membantu mereka, seperti keldai wang yang menyediakan akaun bank, kad SIM atau butiran Singpass.

Hukuman itu sebagai langkah tegas menangani kegiatan sindiket yang menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi negara itu.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Sim Ann, ketika membentangkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan Singapura pada bacaan kedua di Parlimen semalam.

“Kami akan memperkenalkan hukuman sebat mandatori terhadap penipu,” katanya sambil menjelaskan pesalah yang menipu melalui komunikasi jarak jauh akan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan rotan.

Sejak tahun 2020 hingga separuh pertama 2025, Singapura mengalami kerugian lebih AS$2.8 bilion (sekitar RM13.5 bilion) akibat penipuan dalam talian dengan 190,000 kes dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

Sim menegaskan hukuman sama akan dikenakan terhadap ahli dan perekrut sindiket penipuan, manakala individu yang membantu kegiatan itu seperti “money mule” (keldai akaun) yang menawarkan akaun bank atau kad SIM – boleh dikenakan sebat hingga 12 kali.

“Sindiket ini menggerakkan sumber besar untuk menjalankan dan mengaut keuntungan daripada penipuan, dan mereka mempunyai tahap kesalahan tertinggi,” katanya.

Dalam usaha membendung kegiatan itu, Singapura turut memperkukuh pendidikan awam melalui penubuhan talian hotline nasional dan aplikasi ScamShield yang membolehkan pengguna menyemak panggilan, mesej dan laman web mencurigakan.

Masalah penipuan dalam talian turut mendapat perhatian oleh bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang pernah mendedahkan beliau sendiri menjadi mangsa apabila barangan yang dipesan secara dalam talian tidak diterima.

Kegiatan penipuan siber di rantau Asia Tenggara dilaporkan semakin serius dengan kemunculan pusat operasi penipuan di Kemboja dan Myanmar.

Ini termasuk yang dikaitkan dengan taikun British-Kemboja, Chen Zhi, pengasas Prince Holding Group, yang kini disiasat atas tuduhan mengendalikan kem buruh paksa dan skim penipuan kripto berskala besar.

Sim menambah walaupun hukuman sebat diperkenalkan untuk penipuan, semakan mendapati perlunya untuk mengukur semula hukuman sebat bagi kesalahan lain.

Terdapat 96 kesalahan yang menarik hukuman sebat mengikut budi bicara dan 65 dengan sebat mandatori.

Dalam pada itu, hukuman lebih berat juga akan dikenakan bagi yang mengedarkan bahan lucah kepada 10 orang atau lebih di mana kesalahan sedemikian boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, berbanding tiga bulan sebelum ini.

Jika bahan tersebut melibatkan individu di bawah umur 18 tahun, tempoh maksimum penjara akan digandakan kepada empat tahun.

Bagi menghukum mereka yang memudahkan perbuatan sedemikian, satu kesalahan baru akan diperkenalkan yang menyasarkan individu yang menubuhkan atau menguruskan platform dalam talian yang mengedarkan bahan lucah.

Ini termasuk pentadbir kumpulan atau saluran sembang, blog atau akaun di platform perkongsian video.

Sim berkata mereka yang mendera mangsa daripada golongan terdedah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, meningkat daripada penjara selama 20 tahun.

Doxxing, atau menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugut, terhadap penjawat awam, apabila disertai dengan maklumat palsu, juga akan menjadi satu kesalahan jenayah, dengan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda sehingga $10,000.

Nnn

Related posts

Leave a Comment