KOTA KINABALU 30 Nov. – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengangkat sumpah jawatan pagi ini selepas parti gabungan pimpinannya memenangi 29 kerusi.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata tiga wakil rakyat UPKO turut menyatakan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri dan menghadiri majlis angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu.
“Saya dan rakan dalam UPKO menyuarakan kepada Hajiji beliau boleh membentuk Kerajaan Sabah yang sepenuhnya daripada parti tempatan. Selebihnya, Hajiji tentu lebih arif menentukan komposisi Kabinet Sabah,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah, semalam, UPKO menang tiga kerusi di mana Ewon mempertahankan kerusi Kadamaian , Datuk Wilfred Madius Tangau (Tamparuli) dan Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin (Moyog)
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata, wakil rakyat UPKO bukan saja berperanan sebagai wakil kawasan masing-masing, tetapi juga sebagai suara Sabah secara keseluruhan bagi mempertahankan maruah rakyat.
Katanya, UPKO juga akan terus menuntut hak Sabah khususnya pemulangan 40 peratus hasil yang sepatutnya diterima Sabah, berikutan ia penting untuk pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau juga mengingatkan keputusan pilihan raya semalam patut dijadikan pengajaran dan persiapan bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, ia penting supaya agenda Sabah First dapat direalisasikan sepenuhnya termasuk mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak Perlembagaan negeri itu.
Beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga mesti berteraskan kepada dua semangat berkenaan.
“Dalam menguruskan kestabilan politik nasional, hak terbabit mesti dipertahankan dengan tegas.mUPKO melalui tiga wakil rakyat termasuk saya terus memperjuang dan menjunjung agenda serta visi Sabah First,” katanya.
Nnn
