SEPANG 4 Nov. – Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) memohon maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam berhubung kekeliruan yang melibatkan istilah ‘Muslim Choice’, sistem dalaman organisasi itu.
Presidennya, Noorman Kamsani berkata, Muslim Choice bukan badan pensijilan halal atau label pengiktirafan, sebaliknya platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW.
“Logo dan nama sistem tersebut hanyalah identiti dalaman dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk.
“Kami kesal atas kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf atas sebarang kegusaran yang timbul,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan MFW, bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Sirajuddin Suhaimee berkata, pengguna istilah itu juga boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Dalam pada itu, Noorman berkata, MFW telah mengambil tindakan segera untuk menghentikan penggunaan sistem tersebut dan akan menilai semula tatakelola organisasi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta garis panduan Jakim.
Beliau memberitahu, MFW turut bercadang mengadakan kunjungan hormat ke Jakim bagi mendapatkan khidmat nasihat yang lebih terperinci.
Dalam perkembangan sama katanya, semua pihak diminta menghentikan penyebaran spekulasi, fitnah dan kenyataan tidak tepat yang sedang tular di media sosial berkaitan organisasi tersebut.
Beliau turut menegaskan tujuh Ahli Jawatankuasa MFW berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) adalah beragama Islam.
Noorman memberitahu, MFW telah berjumpa dengan Jakim pada Ogos tahun lepas dan telah menghentikan sistem dengan arahan daripada badan itu dan hanya digunakan untuk keahlian sahaja.
Katanya, notis pemberhentian operasi kepada semua pegawai MFW juga telah dilakukan.
MFW pada masa sama akan membuat laporan polis terhadap kenyataan palsu yang disebarkan secara terbuka di media sosial bagi melindungi integriti dan maruah organisasi.
“Langkah berkenaan bukan bertujuan menentang sesiapa tetapi untuk mempertahankan kebenaran serta menegakkan keadilan,” katanya.
Menurut Noorman, sejak penubuhannya, MFW berpegang kepada visi dan misi membantu usahawan bukan Islam memahami dan mematuhi piawaian halal Jakim.
Setakat ini, pihaknya berjaya membantu seorang usahawan bukan Islam memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jakim, hasil bimbingan dan program latihan dijalankan bersama agensi berautoriti dan eksekutif halal.
Menurutnya, MFW juga aktif menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam penganjuran latihan asas halal di luar negara sebagai usaha memperkukuh agenda halal Malaysia di peringkat antarabangsa.
Organisasi ini turut mempunyai lima orang eksekutif halal yang terdiri daripada lepasan graduan bidang halal dari universiti tempatan.
Nnn
