Penyasaran subsidi gula, beras, minyak masak

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi membabitkan barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa selepas pelaksanaan subsidi bahan api berjalan lancar.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata langkah penyasaran subsidi akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tiada ketirisan dan menjamin kemudahan itu hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukan.

Katanya, buat masa ini, keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan api seperti diesel dan Budi Madani Ron95 (BUDI 95) sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk meluaskan penyasaran subsidi kepada barangan lain.

Pada masa sama, Hui Ying berkata, bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar, kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain, khususnya melalui Ops Tiris dan Kita Gempur.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan ketersediaan bekalan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak di setiap siri Program Jualan Rahmah Madani.

“Bagi 2025, pelaksanaan program jualan rahmah itu diperluaskan kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berjumlah 600, berbanding dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen sebelum ini,” katanya.

Menjawab soalan asal Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada kerajaan bercadang mengawal perbelanjaan tidak produktif termasuk projek mega yang membebankan dan menilai semula keberkesanan subsidi yang tidak sampai kepada golongan sasar, Hui Ying berkata, ia dilaksanakan melalui penyasaran subsidi diesel, RON95 dan elektrik.

Katanya, melalui BUDI95, kerajaan sudah memperluaskan program itu kepada lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di negeri Sarawak.

“Melalui penyasaran subsidi diesel di bawah BUDI MADANI Subsidi Diesel, kerajaan meluluskan kemudahan penggunaan ‘fleet card’ kepada 121,618 buah syarikat yang membabitkan 355,074 buah kenderaan.

“Ini membolehkan kenderaan terbabit mendapatkan bekalan diesel pada harga subsidi iaitu RM2.15 seliter. Langkah ini dapat memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan barangan keperluan kekal pada harga berpatutan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Halimah sama ada Kementerian Kewangan akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya perjanjian perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) dibahaskan di Parlimen, Hui Ying bagaimanapun berkata, ia adalah di luar kuasa kementerian berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment