PUTRAJAYA 3 Nov. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.
Ini termasuk istilah yang dikeluarkan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch – MFW), yang bukan sahaja tidak diiktiraf sebaliknya boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Ketua Pengarahnya, Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata hanya Jakim dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
“Justeru, semua pihak diingatkan tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan Jakim atau MAIN/JAIN,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas tindakan MFW memperkenalkan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ kepada pengusaha yang dikatakan menepati syarat dan piawaian ditetapkan pertubuhan terbabit.
Sirajuddin berkata, Jakim pernah bertemu MFW pada 23 Ogos 2024 dan memaklumkan bahawa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Pada pertemuan itu, Jakim turut meminta MFW menghentikan tindakan berkenaan, bagaimanapun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskan aktiviti terbabit.
Nnnn
