Trump datang berbilion kita bagi Amerika

KUALA LUMPUR 28 Okt. –  Seorang penyokong kerajaan dukacita dengan tindakan kerajaan menandatangani perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkannya pemunggahan harta negara miskin kepada Amerika.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyifatkan langkah yang diambil kerajaan semasa Presiden negara itu hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN, kelmarin seperti satu penggadaian negara kepada AS dan menuntut penjelasan di Dewan Rakyat.

“Bagaimana ini, Yang Amat Berhormat Tambun ( Anwar Ibrahim) apa sudah jadi?

“Beratus tahun negara kita mempertahankan melawan Belanda, Portugis, Inggeris, kita merdeka, tapi hari ini Trump datang, yang telah menjahanamkan Gaza bumi Palestin, kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita.

“Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hassan yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan berhubung isu tertentu berkata, beliau tidak tahu nasibnya selepas ini susulan kritikannya terhadap kerajaan berhubung perkara tersebut, namun beliau memang tidak setuju apa yang berlaku.

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan bagaimana AS boleh mengenakan syarat kepada Malaysia supaya menjual nadir bumi negara kepada negara kuasa besar itu tanpa ada sesiapa pun yang boleh menghalang.

“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian. Yang perunding-perunding ini menteri MITI, apa yang mereka rundingkan. Ini penggadaian negara kita, ini memalukan,” tegasnya.

Beliau menggesa agar pihak yang berkaitan menjelaskan situasi yang telah berlaku di dalam Dewan Rakyat.

“Betullah, kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa, tetapi, tanpa sebutir bom, tanpa senapang, tanpa apa-apa, Trump turun ke bawah ini, kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita.

Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika.

“Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkin pada Sabah, mungkin pada Sarawak, kita bergaduh sesama sendiri, tapi berbilion kita bagi kepada Amerika, saya tidak bersetuju,” tegasnya.

Sebelum ini, Malaysia dan AS menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh bertujuan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa pertemuan dua hala di sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, kedua-dua kerajaan menyatakan bahawa perjanjian itu akan memberikan para pengeksport kedua-dua negara akses yang belum pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing dan akan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan AS, termasuk Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang ketara kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam, serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.

Sementara itu, Hassan turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan satu rejim percukaian baharu khas ke atas jutawan di negara ini, yang dipanggil cukai kekayaan.

Beliau berkata berdasarkan data pada 2022 terdapat 85,126 jutawan di Malaysia dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah mungkin mencecah seramai 164,839 pada 2027.

Dengan pengenalan cukai seperti itu, beliau yakin ia dapat membantu kerajaan menambah hasil negara, sekali gus mengelak terlalu bergantung kepada sumbangan dividen daripada Petronas.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan anggaran perbelanjaan pembangunan negara semakin berkurangan saban tahun, ditambah pula kerajaan perlu meminjam sebanyak RM1.02 billion untuk tujuan itu.

Pada 2023, menuntut pembangunan sebanyak RM96 billion. Tahun 2024 turun kepada RM84 billion. Tahun 2025 RM86 bilion dan untuk 2026 turun kepada RM83 billion. Jadi dana pembangunan ini pada setiap tahun sekitar RM80 billion. Ini perlu diperbaiki.

“Satu lagi kebimbangan saya pada tahun lepas, sumbangan dividen Petronas, besar, RM40 billion. Tapi untuk 2026, hanya RM20 billion saja. Saya minta Menteri Ekonomi dan nanti Menteri Kewangan jelaskan kenapa hal ini boleh berlaku.

Baru-baru ini, saya ada baca Perdana Menteri menyatakan adalah tidak bermoral jika kerajaan menggenakan cukai kepada rakyat miskin.

“Jadi dalam nafas yang sama, saya berhujah maka adalah sepatutnya sampai pada waktunya, kerajaan mengenakan cukai kekayaan kepada orang-orang kaya ini iaitu multi-millionaire, mahajutawan, billionair,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment