Zahid dapat semula pasport secara kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim  Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Hanipah yang bersidang bersama hakim  Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong berkata, panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Ahmad Zahid mempunyai merit.

Permohonan semakan Ahmad Zahid itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim mahkamah rayuan) sebelum ini hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid, bagi urusan memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah selepas segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya ia dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.

Related posts

Leave a Comment