Trump sedia bertemu Putin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Budapest, Hungary susulan satu panggilan telefon panjang yang disifatkan “produktif” antara kedua-dua pemimpin.

Menerusi pengumuman di laman Truth Social pada Khamis, Trump bagaimanapun belum menetapkan tarikh rasmi pertemuan itu.

Panggilan telefon itu dibuat sehari sebelum Trump dijadual bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Washington, di mana pemimpin Ukraine itu dijangka mengulangi rayuannya agar AS menjual peluru berpandu Tomahawk bagi membolehkan negara itu melancarkan serangan lebih jauh ke dalam wilayah Rusia.

Dalam kenyataannya, Trump berkata, beliau akan memaklumkan kepada Zelenskyy mengenai perbualan dengan Putin dalam mesyuarat di Pejabat Oval pada Jumaat.

“Saya percaya kemajuan besar telah dicapai menerusi perbualan telefon hari ini,” kata Trump sambil menambah bahawa pegawai kanan AS dan Rusia akan bertemu minggu depan untuk membuat persiapan bagi rundingan susulan.

Pada Khamis, tentera Rusia terus membedil beberapa wilayah di Ukraine menggunakan ratusan dron dan puluhan peluru berpandu yang menyasarkan infrastruktur tenaga dan kemudahan penting lain.

Lapan wilayah di Ukraine dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik selepas serangan itu, menurut operator tenaga nasional Ukrenergo.

Awal minggu ini, serangan Rusia turut mengenai sebuah hospital dan konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Ukraine, mencederakan 57 orang serta memaksa pemindahan 50 pesakit.

Sebagai tindak balas, Ukraine meningkatkan serangan balas terhadap sasaran di Rusia, termasuk mengebom sebuah loji penapisan minyak di wilayah Saratov.

Zelenskyy berpendapat, keupayaan melancarkan serangan jarak jauh akan memberi tekanan tambahan kepada Putin supaya lebih serius dalam rundingan damai yang diusahakan Trump.

Peluru berpandu jelajah Tomahawk yang mampu menjangkau sehingga 1,600 kilometer dilihat dapat memberi kelebihan besar kepada Ukraine – termasuk berpotensi menyerang Moscow dan bandar utama lain di Rusia.

Namun, Putin sebelum ini memberi amaran bahawa penjualan senjata tersebut kepada Ukraine akan menjadi “tahap baharu eskalasi perang”.

Trump bagaimanapun memberitahu wartawan bahawa beliau sedang mempertimbangkan perkara itu.

“Saya mungkin akan bercakap dengan Putin dan berkata, ‘Jika perang ini tidak dapat diselesaikan, saya akan hantar Tomahawk kepada mereka.’ Saya mungkin akan katakan begitu,” ujar Trump.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment