Henti tular foto insiden tikaman

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Semua pihak digesa tidak berkongsi gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian pelajar maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, orang ramai diminta agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan.

Dalam kenyataan itu juga, MCMC mengingatkan, sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya.

“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MCMC turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” tegas kenyataan itu.

Pada masa sama, MCMC turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan terlibat.

Dalam kejadian semalam seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut akibat ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sekolah berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment