KOTA KINABALU 13 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 mulai Khamis ini yang membabitkan sembilan jenis barangan.
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan skim itu adalah selama tujuh hari sehingga 22 Oktober ini.
Katanya, pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan pengguna sepanjang musim perayaan serta mengelakkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga.
Beliau berkata barang berkenaan ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ROS, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (peringkat borong) dan kelapa parut (peringkat runcit).
“Tahun ini, kita menambah satu lagi barangan iaitu bawang merah kecil India, menjadikan keseluruhan sembilan jenis barangan tersenarai di bawah SHMMP Deepavali 2025,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Armizan berkata semua barangan terbabit akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna membuat semakan, selain maklumat lengkap turut dipaparkan menerusi laman web rasmi KPDN, www.kpdn.gov.my.
Beliau berkata skim itu turut mengambil kira libat urus bersama pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan operasi perniagaan.
“Kita mahu jaminan bahawa pengguna dapat menikmati harga terkawal yang telah ditetapkan kerajaan. Jika peniaga boleh menjual lebih rendah daripada harga maksimum, itu lebih baik, namun mereka tidak dibenarkan melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya.
Menurut beliau, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.
Nnn