Asyraf Wajdi calon BN Grik PRU16

KUALA LUMPUR 13 Okt . – Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki diumum sebagai calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi BN,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Salbiah Mohamed, akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi sama.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Gerik supaya menerima Asyraf Wajdi sebagai calon dengan menyifatkan beliau mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan kepada kawasan Gerik.

Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa tokoh tempatan yang layak untuk diketengahkan, namun sekiranya Asyraf Wajdi memenangi kerusi Parlimen dan dilantik sebagai menteri, beliau akan memastikan peluang pekerjaan di kementerian diberikan kepada penduduk Gerik.

“Saya berjanji akan membantu setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Gerik dalam pelbagai aspek sebagai tanda sokongan berterusan kepada rakyat setempat,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pemukiman Kepimpinan UMNO Bahagian Gerik di di Pusat ILMU Janda Baik di Pahang yang berlangsung selama tiga hari berakhir kelmarin.

Mengulas mengenai Salbiah, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ADUN Temenggor itu akan terus kekal berkhidmat di kawasan sedia ada.

“Calon untuk satu lagi kerusi DUN masih dalam pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika diminta mengulas pencalonannya itu, akur dengan apa jua keputusan kepemimpinan tertinggi parti.

“Saya ini orang parti dan akan patuh sahaja arahan kepimpinan parti untuk saya bertanding di mana sahaja. Akhirnya niat saya hanyalah untuk membantu rakyat di mana sahaja kawasan yang parti amanahkan untuk saya menabur budi.

“Sejak tiga tahun saya diamanahkan menjadi Majlis Kerja Tertinggi UMNO Angkat kepada Parlimen Gerik, saya sentiasa turun padang membantu rakyat mengikut kemampuan,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU15, Dr Asyraf Wajdi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO tewas di kerusi Parlimen Gerik , kubu kuat UMNO apabila memperolehi 13,728 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob (PN) menang dengan majoriti 1,377 undi setelah memperoleh 15,105 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Tarmizi Mohd Jam mendapat 5,779 undi.

NNN

Related posts

Leave a Comment