2 ADUN digantung UMNO boleh wakili GRS

KOTA KINABALU 11 Okt. – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada halangan menerima dua wakil rakyat yang digantung keahlian dalam UMNO, untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang masing-masing.

Pengerusi GRS,  Hajiji Noor, mengaku dua pemimpin berkenaan, Shahelmey Yahya (DUN Tanjung Keramat) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (DUN Tanjung Batu) ada memaklumkan keinginan mereka untuk bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya itu nanti.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan mengenai kedudukan mereka diperhalusi oleh kepimpinan GRS.

“Nanti apabila sampai masanya, kita akan tentukan (kedudukan Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady)… mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili ataupun bertanding atas tiket GRS.

“Saya tiada halangan kerana mereka adalah pemimpin – seorang ialah menteri dan seorang lagi pembantu menteri,” katanya kepada pemberita pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Bagaimanapun sekiranya bertanding atas tiket GRS, kedua-dua mereka perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana ia dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shahelmey, Timbalan Ketua Menteri Sabah adalah Ahli Parlimen Putatan, manakala Andi Muhammad Suryady yang juga Ahli Parlimen Kalabakan sebelum ini Pembantu Menteri Interim Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023 selepas menentang keputusan UMNO Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS yang mencetuskan kemelut politik dinamakan Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Hajiji memaklumkan rundingan GRS dengan PH berhubung agihan kerusi pada PRN17 Sabah masih belum selesai, dengan baru separuh daripadanya dapat dimuktamadkan setakat ini.

“Kita sudah berbincang dengan PH… Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini, dan agihan setengah daripadanya (kerusi) sudah dapat kita muktamadkan,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji enggan mendedahkan jumlah kerusi yang telah selesai dirunding itu.

Beliau juga enggan menyatakan jumlah sebenar kerusi yang diminta PH, namun menekankan bahawa semua pihak perlu bersikap praktikal dalam permintaan masing-masing.

“Memanglah mana-mana gabungan (politik) pun mahu banyak kerusi, namun kita mesti praktikal… mana-mana kawasan yang ada peluang tinggi untuk kita menang, itulah kita minta.

“Ia supaya peluang kita untuk menang pada pilihan raya adalah tinggi,” katanya tanpa menjelaskan apa yang dimaksudkan beliau dengan ‘praktikal’.

Sebelum ini daripada keseluruhan 73 kerusi DUN di Sabah, dikatakan hanya 18 diperuntukkan kepada PH, manakala 55 lagi akan ditandingi GRS pada PRN17.

Related posts

Leave a Comment