Rogol dalam kelas, 4 pelajar direman

MELAKA 11 Okt. – Empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah di sini pada minggu lalu.

Ketua Polis Melaka,  Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah tahanan reman terhadap semua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana.

Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.

Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir itu didakwa berlaku kira-kira pukul 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Mangsa dikatakan diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.

Kejadian itu terbongkar, petang semalam, selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan
KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu.

“Tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pesalah. Tiada siapa yang akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Fadhlina berkata kes salah laku seksual yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini adalah amat dikesali.

Sementara itu, KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes di Melaka itu sedang diambil tindakan oleh pihak polis.

KPM turut mengarahkan semua pentadbir institusi pendidikan untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang diguna pakai dan memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment