Kajian DTMP tingkat daya saing

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan Kajian Pembangunan Pelan Induk Sektor Perdagangan Pengedaran (DTMP 2025-2035) untuk meningkatkan daya saing industri khususnya sektor makanan dan minuman.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  Fuziah Salleh berkata, ia meliputi empat komponen utama DTMP iaitu pendigitalan, automasi, pengukuhan rantaian bekalan dan keterangkuman.

Katanya, ia relevan dengan industri restoran kerana menyentuh cara operasi , pengurusan dan penyertaan restoran dalam ekosistem perdagangan masa depan dengan meningkatkan kecekapan pengoperasian perniagaan melalui adaptasi digitalisasi.

Beliau berharap DTMP dapat membantu mentransformasi restoran kepada model perniagaan yang digital, cekap, berdaya tahan dan inklusif selaras dengan keutamaan KPDN dalam sektor perdagangan pengedaran.

Fuziah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA) di sini semalam.

“Pendigitalan dan automasi akan menggantikan atau menyokong kerja manual dengan sistem automatik atau mesin bagi mempercepat dan menambah kecekapan.

Ini dapat dilihat melalui kaedah pesanan dan pembayaran digital seperti penggunaan kod QR dan e-wallet serta penggunaan pemasaran digital seperti aplikasi penghantaran makanan dan promosi berasaskan data pelanggan,” katanya.

Menenai cabaran dihadapi PRESMA termasuk berkaitan kekurangan tenaga kerja, Fuziah menasihati persatuan yang mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan hampir 10,000 restoran itu supaya memohon kuota penggantian pekerja asing mengikut kes atau case by case basis yang diperkenalkan kerajaan.

Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 3,141 premis berdaftar di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Justeru, beliau berharap inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilancarkan pada Januari 2023 di bawah agenda Payung Rahmah itu terus mendapat sokongan semua pihak.

“KPDN percaya dengan adanya sokongan daripada pengusaha restoran di seluruh Malaysia, Menu Rahmah akan kekal sebagai pilihan terbaik rakyat untuk mendapatkan makanan sihat, seimbang dan berpatutan,” katanya.

Fuziah turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan PRESMA dalam menyokong inisiatif kerajaan itu dengan menjadi rakan industri menerusi surat hasrat (LOI) bagi menyediakan Menu Rahmah untuk rakyat.

“Komitmen ini amat kami hargai kerana ia membuktikan bahawa pengusaha restoran bukan sahaja memikirkan keuntungan tetapi juga mempunyai jiwa prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment