KUALA LUMPUR 9 Okt . – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing demi kelangsungan perniagaan, kata Presidennya Jawahar Ali Taib Khan.
Justeru beliau mengulangi rayuan PRESMA kepada kerajaan agar mempertimbang semula pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing gantian yang diyakini mampu menangani isu kekurangan pekerja.
Beliau yang mewakili 10,000 rangkaian restoran di seluruh negara, berkata, kaedah ini telus malah tidak akan menambah nisbah pekerja asing dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
“Penggunaan pekerja asing khususnya restoran India Muslim kami tidak sampai 10% dari jumlah keseluruhan di negara ini. Harap kementerian-kementerian berkaitan dapat memperhalusi dan mempertimbang agar pekerja gantian itu diberi secepat mungkin,” katanya pada sidang media sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PRESMA ke-21 semalam.
Jawahar turut menggesa penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) diselaraskan bagi memudahkan urusan penginapan pekerja asing.
Katanya, ada sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membenarkan pekerja asing duduk atas premis restoran dan ada yang tidak membenarkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh yang hadir merasmikan mesyuarat itu ketika menjawab gesaan PRESMA berkata, pihaknya akan membantu sekiranya ada sesi libat urus berhubung isu gantian pekerja asing seperti dibangkitkan.
“Dari segi penguatkuasaan pekerja asing juga melibatkan kementerian lain seperti Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) dan Kementerian Dalam Negeri. Kami akan cuba jadi pemudah cara jika diberi ruang,” katanya.
Januari lalu PRESMA membangkitkan isu ini dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan.
Nnn
