‘Kena gigit semut pun sakit’

KUALA TERENGGANU 26 Feb. – Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Beliau menerima suntikan tersebut pada pukul 4.05 petang bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak, dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Ahmad Samsuri berkata masyarakat yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak perlu berasa takut mahupun gusar untuk disuntik malah sepatutnya mereka harus teruja untuk menanti giliran mereka bagi menerima suntikan itu.

Jelasnya proses suntikan yang diterimanya sebagaimana suntikan biasa dan tiada rasa sakit atau kesan yang luar biasa.

“Dari segi vaksin yang masuk dalam badan itu saya tidak ada apa-apa rasa, kegusaran untuk kita. Maka semua rakyat yang akan menerima giliran masing-masing tidak perlu rasa takut, sepatutnya teruja menanti saat masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 peringkat negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas selesai tempoh pemantaun selama 15 minit, Ahmad Samsuri berkata suntikan tersebut hanyalah satu proses yang biasa dan rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang atau takut untuk turut serta menerima suntikan.

“Ia satu proses yang biasa, kena gigit semut pun sakit lagi, (rasa) jarum sahaja dari segi vaksin yang masuk ke dalam badan saya rasa tidak ada apa-apa kesukaran untuk kita. Semua rakyat yang menerima (vaksin) tidak perlu takut, dan sepatutnya mereka teruja untuk menanti giliran masing-masing,” katanya.

Beliau memaklumkan akan menerima suntikan kedua vaksin tersebut pada 19 Mac ini.

Related posts

Leave a Comment