Setuju damai, enggan lucut senjata

KAHERAH – Hamas dilaporkan bersetuju dengan sebahagian daripada syarat terkandung dalam pelan keamanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan perang di Gaza.

Bagaimanapun Hamas yang diberi tempoh sehingga Ahad untuk menerima pelan 20 perkara itu dikatakan tidak bersetuju dengan syarat pelucutan senjata kerana pihaknya menegaskan mahu rundingan lanjut diadakan.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump percaya kenyataan Hamas menunjukkan mereka sudah bersedia untuk keamanan berkekalan sambil menuntut Israel mesti segera menghentikan pengeboman ke atas Gaza.

“Israel mesti segera menghentikan pengeboman Gaza supaya kita boleh membawa keluar tebusan dengan selamat dan pantas. Buat masa ini, ia terlalu bahaya untuk dilakukan. Apa pun, kami sudah pun berbincang mengenai butiran yang perlu dimuktamadkan.

“Ia bukan hanya tentang Gaza, ini tentang keamanan di Asia Barat yang telah lama diidamkan,” katanya.

Hamas dilaporkan tidak menyatakan sama ada pihaknya akan bersetuju untuk melucutkan senjata dan membubarkan pasukan bersenjatanya.

Trump turut memuatnaik salinan surat Hamas di laman Truth Social miliknya, manakala Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, turut menyiarkan imej di platform X yang menunjukkan Presiden sedang merakam reaksi kepada penerimaan Hamas terhadap pelan keamanannya.

Setakat ini, tiada reaksi daripada Israel yang menyokong cadangan Trump itu.

Dalam responsnya terhadap pelan keamanan Trump, Hamas menegaskan pihaknya menghargai usaha Arab, Islam dan antarabangsa termasuk Trump yang mahu perang di Gaza dihentikan, pertukaran tahanan serta kemasukan bantuan segera.

Hamas berkata, pihaknya meluluskan pembebasan semua tahanan sama ada masih hidup atau meninggal dunia, mengikut formula pertukaran terkandung dalam cadangan Trump.

Hamas turut menyatakan kesediaan untuk menyerahkan Semenanjung Gaza kepada sebuah badan Palestin bebas bersandarkan konsensus nasional Palestin dan disokong oleh Arab dan Islam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment