Rogol: Bekas ADUN ke penjara

PUTRAJAYA 1 Okt. –  – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diperintahkan menjalani hukuman penjara selama lapan tahun mulai hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir bekas wakil rakyat di Perak itu terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.

“Sabitan adalah sah dan keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan adalah wajar,” kata Wan Ahmad Farid yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Yong, 55,, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun Mahkamah Rayuan pada Mac 2024 mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun, tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

Sementara itu, peguam kepada bekas ADUN Tronoh itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memberitahu pemberita, anak guamnya meluahkan rasa terkejut dan amat kecewa selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia pada 2019.

Beliau berkata, keputusan mahkamah tertinggi itu amat mengecewakan buat Yong serta keluarganya, yang hadir semasa kedua-dua sesi pendengaran rayuan pada Ogos lalu dan pagi ini di Istana Kehakiman.

Ditanya sama ada mereka akan memohon semakan terhadap keputusan terbabit, Hisyam berkata, beliau dan pasukannya akan berbincang dengan Yong dan keluarganya sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Related posts

Leave a Comment