ISTANBUL – Para perunding Gaza akan berkumpul ‘dalam masa terdekat’ bagi menyambung semula rundingan gencatan senjata dalam beberapa hari akan datang, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken.
Bercakap pada sidang media di Doha dengan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdelrahman Al Thani, Blinken berkata, mereka bercakap tentang pilihan untuk memanfaatkan masa ini dan langkah untuk menggerakkan proses ke hadapan.
Diplomat tertinggi AS itu menyatakan bahawa Washington ‘menentang sebarang percubaan untuk mengenakan kepungan dan membiarkan penduduk Gaza kelaparan’.
Beliau turut mengumumkan sebanyak AS$135 juta (RM587 juta) bantuan kemanusiaan untuk wilayah Palestin itu.
Tentera Israel meneruskan serangan dahsyatnya di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata segera.
Usaha pengantaraan yang diketuai AS, Mesir dan Qatar untuk mencapai persetujuan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas gagal kerana keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menghentikan perang.
Israel sebelum ini menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakannya di Gaza.
Serangan Israel ke atas Gaza menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Nnn
