IPOH 1 Okt. – Mulai 1 Januari 2026, Perak tidak akan mengeluarkan lesen bagi penjualan rokok elektronik atau vape, iaitu fasa persediaan ke arah pengharaman sepenuhnya penjualan vape yang mahu dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri pada 22 September lalu.
Katanya, dengan keputusan itu Perak menjadi negeri ketujuh melaksanakan larangan berhubung penjualan vape melalui penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi lesen penjualan selepas Perlis, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Kalau nak haramkan kita kena mansuhkan akta dulu. Jadi sehingga kita mansuhkan (pinda) akta ini, kita tak boleh haramkan dan apa yang lima negeri itu buat adalah larang lesen penjualan rokok elektronik.
Dalam proses ini, kita hanya tidak membenarkan penjualan vape di negeri kita menggunakan mana-mana premis untuk menjualnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan egeri mempunyai bidang kuasa yang besar dalam aspek kesihatan awam, pendidikan komuniti dan pelesenan perniagaan.
Kuasa itu katanya dimanfaatkan untuk memacu perubahan gaya hidup rakyat Perak melalui larangan lesen, tidak memperbaharui lesen sedia ada, dan penguatkuasaan bersepadu.
Sivanesan berkata, tempoh masa sekitar 14 bulan diperlukan bagi menoktahkan penjualan vape di Perak, berikutan permohonan atau pembaharuan lesen menjual vape di Perak masih terbuka sehingga 31 Disember ini.
“Kalau sebelum 31 haribulan (Disember), mereka masih boleh mohon tetapi kalau selepas 1 haribulan (Januari 2026) maka tidak akan dilayan dan yang ada lesen sekarang ini adalah hanya untuk satu tahun saja.
“Apabila luput (tarikh) satu tahun, mereka tidak tidak boleh memohon untuk kelanjutan masa. Jadi, secara perlahan-lahan kita akan berhentikan kesemuanya dalam tempoh masa 14 bulan dari hari ini,” katanya.
Menurut beliau, Perak merekodkan 44 kes EVALI iaitu kecederaan paru-paru berkaitan dengan vape serta 27 kes non-EVALI, selain 111 kes keracunan nikotin yang dicatatkan antara tahun 2015 hingga 2023.
Perak juga merekodkan kes penyalahgunaan dadah yang dikaitkan dengan vape seperti syabu, ganja, psilocybine, dan mushroom yang membabitkan 42 kes tangkapan antara tahun 2024 hingga Julai 2025 dan turut disifatkan sebagai trend meningkat.
