PUTRAJAYA 30 Sept. – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan kehadiran Presiden Donald Trump ke negara ini bulan depan adalah sebahagian daripada mandat diplomasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bukannya pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin.
Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu juga bukanlah jalan penyelesaian, sebaliknya prinsip diplomasi yang menuntut kebenaran disuarakan secara berdepan, bukan dengan mengelak.
“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum wujud pandangan daripada beberapa pihak termasuk tokoh politik tanah air, yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas dasar pandangan beliau terhadap isu Palestin.
“Namun, menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukanlah jalan penyelesaian. Prinsip diplomasi menuntut kita menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak.
Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Pada masa sama, Tunku Nashrul menegaskan pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah, malah ia jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa.
“Bahkan pandangan tegas ini disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri di hadapan bekas Presiden AS sebelum ini,” katanya.
Tunku Nasrul berkata, kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah dan lantang dalam membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat dan bijaksana mengimbangi diplomasi global.
Beliau berkata, sidang kemuncak itu amat bersejarah, kerana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memikul amanah besar untuk memastikan semua rakan dialog hadir ke meja rundingan.
Katanya, ASEAN bukan sekadar satu perkumpulan serantau, tetapi satu komuniti strategik yang berhubungan rapat dengan kuasa besar dunia melalui platform tetap antaranya Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat, ASEAN–China, ASEAN–Jepun, ASEAN–Korea, ASEAN–Australia, ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
“Malaysia membawa suara ASEAN supaya sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata.
“Tetapi ia lebih kepada agenda bersama, memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan, serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia,” katanya.
Beliau berkata, ASEAN mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog, bukan sahaja AS, tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia dan GCC.
“Perlu diingat, kepengerusian ASEAN datang hanya sekali setiap dekad dan inilah kali terakhir Malaysia mengetuai sebelum menyerahkannya kepada Filipina. Justeru, kita wajib menggunakan kesempatan ini untuk memimpin dengan sebaik mungkin, membawa suara ASEAN ke peringkat global,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Nnnn
