SEPANG 27 Sept. – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menuntut agar siasatan bebas dan telus dijalankan segera, berhubung keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan denda RM1.9 juta (CHF 350,000) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan berkata siasatan itu juga turut melibatkan keputusan FIFA menggantung serta mendenda tujuh pemain selama setahun akibat penggunaan dokumen yang dipalsukan berdasarkan Artikel 22, Kod Etika Fifa (FDC).
Menurut Takiyuddin, rakyat khususnya peminat bola sepak tempatan amat kecewa dengan insiden memalukan ini dan mereka berhak marah kerana nama baik negara dipalit dengan aib di pentas antarabangsa.
“Insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, menampakkan FAM kelihatan hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran, dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus dan sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PN melihat skandal ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi lebih dari itu seolah satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara.
“Soalnya – siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Apakah ada unsur kecuaian, atau lebih buruk lagi, unsur penipuan yang disengajakan?,” soal Takiyuddin yang juga bekas Naib Presiden FAM.
Beliau mengulas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Takiyuddin menegaskan kepimpinan FAM mesti bertanggungjawab sepenuhnya, tidak memadai dengan hanya merayu keputusan FIFA semata-mata.
Kerajaan juga melalui Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh berdiam diri manakala Menteri Belia dan Sukan perlu segera tampil memberi penjelasan apakah langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bola sepak negara.
Katanya, siasatan bebas dan telus bukan sahaja melibatkan pihak dalam FAM, tetapi juga pihak berkuasa yang berkaitan.
Jika terbukti ada individu tertentu yang bersalah, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi.
“Jika kita benar-benar mahu melihat bola sepak Malaysia kembali dihormati, jalan pintas dengan menipu dokumen bukan jawapannya. Hanya disiplin, ketelusan, dan integriti yang akan mengangkat kembali maruah bola sepak negara,” katanya.
Nnnnn
