SEPANG 25 Sept. – Pengguna 60 liter RON95 hanya mampu menjimatkan 12 sen sehari tetapi pada masa yang sama rugi 16 sen sehari akibat kenaikan harga dua biji telur, demikian dakwaan yang dibuat Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra).
Putra merujuk data Kementerian Kewangan yang menunjukkan majoriti rakyat hanya mengguna 60–80 liter RON95 sebulan dan selepas subsidi telur ditarik, harga melonjak 16 hingga 22 peratus sebulan dan naik 8 sen sebiji selepas 23 September.
Menurut Presiden Putra, Ibrahim Ali, penunggang motosikal yang mengguna 20 liter sebulan cuma menjimatkan RM1.20 sebulan dan ia tidak cukup untuk harga sebiji telur.
Manakala pengguna pengangkutan awam tidak mendapat apa-apa, sebaliknya tetap menanggung kenaikan makanan asas.
“Inikah sahaja kemampuan Kerajaan Madani, yang sebelum ini melaung janji hari ini menang, esok minyak turun sedangkan rakyat dihimpit pelbagai cukai, bil utiliti dan harga makanan mentah naik melambung.
Hari ini ikan kembung mencecah RM20 sekilo, tetapi subsidi petrol cuma RM18 sebulan,” kata Ibrahim sambil menyifatkan BUDI95, subsidi umpama setitik air dalam lautan dan lubang ketirisan baharu.
Dalam satu kenyataan, beliau turut mendakwa subsidi yang diwar-warkan hanyalah ilusi sedangkan rakyat sebenarnya lebih banyak rugi.
Sementara itu Ibrahim mendakwa terdapat risiko salah laku BUDI95 seperti MyKad dipinjam, dipalsu, dijual; kolusi stesen minyak & slip berganda; penyeludupan subsidi rentas sempadan; akaun palsu pemandu e-hailing; ancaman penggodaman & kebocoran data rakyat serta penduduk luar bandar & warga emas tercicir.
Justeru Putra mendesak kerajaan mengambil beberapa pendekatan termasuk, mengehadkan 50 liter setiap isian & kawal transaksi harian, audit ketat akaun e-hailing, memperkukuhkan pasukan sempadan serta menyediakan kaunter mudah alih MyKad untuk mengelak rakyat tercicir.
“Subsidi rakyat mesti kekal untuk rakyat, tanpa kawalan ketat, BUDI95 hanya akan bocor kepada sindiket, operator tamak, dan pasaran gelap. Hakikatnya, rasionalisasi ini bukan keikhlasan, tetapi helah mencuri subsidi rakyat secara halus,” katanya.
Putra katanya tetap dengan pendirian asal iaitu menghentikan rasionalisasi dan kembalikan subsidi yg merupakan hak rakyat sepenuhnya.
Nnn
