PUTRAJAYA 25 Sept. – Sebanyak 55,047 nama warga negara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 42,464 nama didaftarkan secara automatik sepanjang Julai lalu dan 40,510 yang direkodkan sepanjang Jun 2025.
Pemilih baharu bolehlah membuat semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 (DPT BLN8/2025) mulai semalam 24 September selama 30 hari sehingga 23 Oktober depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN8/2025 telah diperaku dan diwartakan semalam turut mengandungi 13,598 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya.
Dalam kenyataannya, beliau memberitahu, sebanyak 2,198 pemilih lagi bertukar kategori pengundi atau status.
SPR menggesa warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2025.
Khairul Shahril berkata, jika pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN8/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN8/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218.
Semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.
Nnnn
