Trump diminta pimpin proses damai

NEW YORK – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersama pemimpin Arab dan Islam menggesa Presiden AS, Donald Trump memimpin proses damai di Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Sugiono berkata, permintaan itu disampaikan semasa mesyuarat pelbagai hala mengenai Gaza yang dipengerusikan Trump dan dihadiri Prabowo serta wakil Mesir, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Turkiye.

“Mereka meminta kepemimpinan AS dalam menyelesaikan isu Gaza dan Palestin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Menurut Sugiono, pada mesyuarat berlangsung di luar Perhimpunan Agung PBB itu, Trump dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan mengenai situasi semasa di Asia Barat, khususnya negara-negara yang bersempadan dengan Palestin.

“Mereka turut menyampaikan harapan agar AS terbabit dalam usaha mencapai gencatan senjata, seterusnya perdamaian serta merealisasikan penyelesaian dua negara,” katanya.

Sugiono berkata, Prabowo menegaskan semula komitmen Indonesia untuk menyumbang dalam semua peringkat proses damai di Gaza termasuk menghantar pasukan pengaman atas mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

“Prabowo menawarkan jumlah yang signifikan iaitu 20,000 anggota pengaman, bukan sahaja untuk Gaza dan Palestin tetapi juga bagi wilayah lain di dunia,” katanya.

Walaupun mesyuarat itu diadakan secara tidak rasmi, Sugiono menjelaskan ia berlangsung secara produktif dengan maklum balas positif daripada Trump.

Beliau turut menekankan wujudnya kemajuan dalam perbincangan mengenai konflik di Asia Barat dan gencatan senjata di Gaza.

Sementara itu, Trump dilaporkan berkata, pertemuan bagi membincangkan isu Gaza sebagai ‘sangat penting’.

“Kami akan berbincang mengenai Gaza. Kami akan lihat sama ada boleh melakukan sesuatu mengenainya. Kami mahu menghentikannya. Kami mahu membawa pulang tawanan kami atau tawanan mereka,” katanya.

Foto FB Prabowo

Related posts

Leave a Comment