Israel guna kekuatan luar biasa

BANDAR GAZA – Tentera Israel memberi amaran akan bertindak dengan kekuatan luar biasa di Bandar Gaza, dan mengulangi amaran kepada penduduk untuk melarikan diri ketika serangan darat diteruskan di pusat bandar terbesar di wilayah itu.

Kota Gaza dibedil dengan serangan udara dan tembakan kereta kebal dalam usaha untuk menawannya, hampir dua tahun sejak perang yang memusnahkan wilayah Palestin dan menyebabkan bandar itu dilanda kebuluran yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan itu berlaku menjelang langkah yang dirancang oleh beberapa kerajaan Barat, termasuk Britain dan Perancis, untuk mengiktiraf negara Palestin pada sidang kemuncak PBB minggu depan.

Tentera Israel melancarkan serangan darat pada Selasa dan selama beberapa hari telah memberitahu penduduk untuk menuju ke selatan, tetapi ramai rakyat Palestin berkata perjalanan itu sangat mahal dan mereka tidak tahu ke mana hendak pergi.

PBB menganggarkan pada akhir Ogos bahawa kira-kira sejuta orang tinggal di Bandar Gaza dan sekitarnya manakala tentera Israel semalam berkata, ia menganggarkan 480,000 orang telah melarikan diri sejak akhir Ogos.

Agensi pertahanan awam Gaza, pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas berkata, 450,000 orang telah melarikan diri.

Pada Jumaat, jurucakap tentera berbahasa Arab mengumumkan penutupan laluan pemindahan sementara yang dibuka 48 jam lebih awal, dengan mengatakan satu-satunya jalan ke selatan adalah melalui jalan Al-Rashid di sepanjang pantai Mediterranean.

Tentera Israel menggesa rakyat Palestin untuk menuju ke kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi di pantai, di mana ia berkata bantuan, penjagaan perubatan dan infrastruktur kemanusiaan akan disediakan.

Israel pada mulanya mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon selamat pada awal perang, tetapi telah melakukan serangan berulang kali di sana dengan alasan ia menyasarkan Hamas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment