Tokoh lainlah, bukan saya – Tuan Ibrahim

YAN 13 Sept. – Timbalan Presiden Pas,  Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Dewan Pemuda Pas yang mencalonkan namanya sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau sebaliknya berkata, Pas mempunyai ramai tokoh lain yang lebih layak dan berwibawa untuk diberi peluang menerajui negara.

“Tokoh lainlah, bukan saya. Profesional pun ada, pelbagai bidang pun ada. Dalam Pas, ramai tokoh hebat, jauh lebih hebat daripada saya.

“Mereka ini sebenarnya kalau diberi peluang, insya-Allah rakyat akan nampak kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen As Sabiqun Pas Pusat di Guar Chempedak di sini.

Semalam Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon utama Perdana Menteri PN sekiranya gabungan itu diberi mandat memimpin negara.

Afnan menyifatkan Tuan Ibrahim sebagai tokoh berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.

Dalam pada itu  Tuan Ibrahim turut memberi contoh kejayaan tokoh Pas yang diberi kepercayaan sebelum ini, antaranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Sebelum ini, Sanusi bukanlah tokoh yang dikenali dalam konteks politik Malaysia. Dia dulu Setiausaha Politik Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah), tapi bila kita letak (Sanusi) sebagai Menteri Besar, tengoklah bagaimana pencapaiannya.

Sama juga dengan Dr Samsuri, siapa kenal dia sebelum ini? Tapi bila diberi peluang, kita nampak dia berjaya,” katanya yang lebih selesa melihat tokoh lain dalam parti itu ditonjolkan terlebih dahulu.

Related posts

Leave a Comment