YAN 13 Sept. – Lebih ramai rakan daripada UMNO khususnya yang tidak selesa dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan DAP berkemungkinan besar akan bersama-sama menyokong Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengalaman membentuk kerajaan bersama UMNO sebelum ini banyak membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk lebih mengenali satu sama lain sehingga ke peringkat akar umbi.
Katanya , faktor itu jugalah, memberi kesan besar kepada sokongan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, apabila ramai ahli UMNO akhirnya mengundi PN, termasuk beberapa tokoh seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Mutalib.
“Kita jangkakan lebih ramai rakan daripada UMNO khususnya yang tidak selesa dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan DAP berkemungkinan besar akan bersama-sama menyokong PN,” katanya selepas merasmikan Sidang As Sabiqun Pas Pusat di Guar Chempedak, di sini, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, kekuatan Pas dan PN terletak pada muafakat yang dipersetujui bersama dan ia juga akan digunakan sebaik mungkin untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Strategi bersama itu, katanya akan terus diperhalusi termasuk melalui jawatankuasa induk PRN Sabah yang telah dibentuk untuk membincangkan soal manifesto, kerusi, pendekatan serta pelancaran jentera.
“Kekuatan kita bergantung kekuatan PN. Di tempat Pas lemah, rakan PN bantu. Di tempat rakan PN lemah, kita pula bantu,” katanya yang turut menegaskan bahawa Pas sudah lama bekerja di Sabah, bukannya sekadar turun pada musim pilihan raya.
Nnn
