Pas tidak ketandusan calon PM

ALOR SETAR 13 Sept. – Pas tidak ketandusan tokoh untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri (PM), namun mestilah memiliki empat ciri utama berpaksikan nilai Islam, bukan semata-mata berlandaskan populariti atau sokongan politik.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata,, pemimpin yang layak memegang jawatan tertinggi negara perlu mempunyai sifat takut kepada Allah, beramal dengan syariat, membuat persediaan untuk akhirat serta reda dengan rezeki yang ditentukan walaupun sedikit.

Beliau berkata, masyarakat sering mempersoalkan siapa calon Perdana Menteri daripada Pas, sedangkan bagi parti itu keutamaan bukanlah pada imej atau kemampuan berucap semata-mata, tetapi turut menitik berat soal ketakwaan dan integriti.

“Ramai dalam Pas yang boleh diketengahkan, bukan jenis pergi mesyuarat sana sini atau naik kapal terbang saja. Itu bukan ukuran. Kalau jenis itu, tiga empat lori pun boleh kita cari.

“Tetapi yang kita perlukan ialah seorang pemimpin yang bertakwa, beramal dengan syariat, membuat persediaan kembali kepada Allah dan redha dengan rezeki yang ditentukan-Nya,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat Kali Ke-64 di Maahad Darul Hadis, Tok Keling, di sini hari ini.

Hashim turut menekankan bahawa Pas sentiasa mentarbiah pemimpin dan ahlinya agar memimpin ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan sekadar mengejar kuasa.

Beliau turut menempelak dakwaan bahawa ulama tidak layak mentadbir negeri dengan merujuk kepada kepemimpinan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 22 tahun.

Dulu masa kita lantik Tok Guru Nik Aziz jadi Menteri Besar, ada pemimpin UMNO kata kerajaan ini akan tumbang dalam tiga bulan tetapi sebaliknya bukan tiga bulan, enam bulan, setahun, tetapi 22 tahun tidak ada masalah.

Pada sidang media selepas perasmian,  Hashim, berkata sudah tiba masa untuk parti itu memimpin Perikatan Nasional (PN) serta mempunyai calon Perdana Menteri dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau secara peribadi amat mempersetujui usul disuarakan Dewan Pemuda Pas Pusat, semalam, berhubung perkara itu yang dilihat sebagai relevan dan mampu menjadi faktor dalam mencorakkan kemenangan parti berkenaan pada PRU akan datang.

Malah, Hashim berkata, beliau sendiri pernah menyuarakan hasrat berkenaan dalam usaha mengangkat peranan Pas ke tahap lebih tinggi.

“Saya pernah menyuarakan hasrat itu sejak dua tahun lalu bahawa dalam PN, mesti ada satu keputusan peringkat dasar yang perlu dibuat selepas kita berunding (dengan parti komponen)

Kemudian pada ketika itu, ada suara yang merasakan bahawa mereka berhak mengumumkan apa saja. Jadi, saya pun bersuara bahawa itu tidak sepatutnya berlaku kerana rundingan perlulah dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya pun sudah tua dan bukan ada apa-apa kepentingan. Sebaliknya, segala yang saya suarakan adalah untuk parti dan apabila keputusan dibuat, maka kita ikutlah keputusan itu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment