Ustaz Wadi Annuar cari tarikh baharu ceramah

SEPANG 8 Sept. – Tarikh baharu akan ditetapkan bagi membolehkan ceramah Ustaz Wadi Annuar diteruskan di Masjid Sri Sendayan, Rembau selepas pembatalan program Healing De’ Masjid yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, penceramah bebas itu mengucapkan terima jasih atas keperihatinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung pembatalan program ceramah itu.

“Ucapan penghargaan ditujukan kepada pihak masjid atas kesungguhan mengimarahkan masjid dengan program dakwah sejak dahulu dan memastikan ceramah ini tetap berjaya dilaksanakan walaupun mengalami sedikit masalah.

Semoga Allah SWT memberkati usaha kita dalam memakmurkan masjid, menyemarakkan ukhuwah dan memartabatkan Islam,” katanya.

Semalam Dr. Naim dalam kenyataannya memaklumkan telah menghubungi Ustaz Wadi untuk mendapat pengesahan dan pencerahan berkenaan perkara ini yang akhinya satu tarikh baharu ceramah akan ditetapkan.

Beliau kemudiannya menghubungi Pengerusi dan individu yang mewaqafkan Masjid Sri Sendayan , Rashid Hussain.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Wadi Annuar dan Tan Sri bersama AJK Masjid Sri Sendayan atas kerjasama dan usaha memakmurkan Masjid, baik melalui ceramah , pembangunan, pemeliharaan, mahupun aktiviti ibadah di dalamnya.

Mengimarahkan Masjid adalah tanggungjawab kita semua. Saya yakin dengan semangat ukhuwah dan kerjasama, Masjid akan menjadi pusat peradaban Islam yang memberdayakan umat dan mengangkat karamah insaniah,” kata Dr Naim.

Terdahulu, Ustaz Wadi menerusi satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan pada Sabtu lalu dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker kemudiannya meluahkan rasa kesal dan terkejut berikutan program ceramah itu dibatalkan yang didakwa berpunca daripada kegagalan mendapatkan kelulusan daripada MAINS.

Susulan itu, Menteri Besar, Aminuddin Harun menafikan beliau campur tangan dalam isu pembatalan itu malahan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai program tersebut kerana ia bukan di bawah anjuran kerajaan negeri.

“Saya sendiri pun terperanjat. Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya.

Sementara Menteri Luar, Mohamad Hasan kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba mengaitkan beliau dalam isu pembatalan ceramah itu sedangkan beliau tidak tahu menahu mengenai program yang akan dibuat di kawasan diwakilinya.

“Walaupun dalam kawasan saya (Parlimen Rembau) tapi saya pun tak tahu masjid mana. Sebagai wakil rakyat kita tidak ada apa-apa kuasa terhadap pengurusan masjid ataupun syarahan agama di negeri ini.

“Berhentilah mengutuk saya kerana saya tak ada kena mengena pun. Perkara itu (pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar) di luar pengetahuan saya. Apabila saya balik daripada Beijing (China), bising mengenai perkara ini,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment