Kaji naikkan harga beras tempatan

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji permintaan menaikkan harga runcit beras putih tempatan (BPT) sebanyak RM1 kepada RM3.60 sekilogram, kata Menterinya, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, langkah itu berikutan penurunan harga beras import yang dengan sendirinya mengurangkan permintaan terhadap beras tempatan.

“Kita buat kajian dan meneliti perkara itu disebabkan harga beras import sudah turun, tetapi kenaikan harga tidak boleh dibuat tergesa-gesa sebab perubahan harga akan sentiasa berlaku.

“Beras import sekarang memang murah dan kita sedang membuat kajian intensif,” katanya ketika selepas merasmikan Forum Pengairan Dunia Keempat (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa (IEC) ke-76 di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan menaikkan harga runcit beras tempatan kepada RM3.60 sekilogram berbanding RM2.60 ketika ini.

Kenaikan itu selaras peningkatan kos operasi dan harga lantai belian padi RM1,500 satu tan sejak 16 Februari lalu.

Gesaan sama turut disuarakan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang menuntut kenaikan harga itu disebabkan pihak pengilang dan pemborong berdepan kos lain perlu ditanggung.

Berhubung kekurangan bekalan beras, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, berkata ia berlaku disebabkan pembelian secara spontan apabila rakyat mendapat bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, empat juta kampit BPT sudah diagih ke seluruh negara dan ia tidak perlu bimbang kerana mencukupi untuk keperluan rakyat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment