KAJANG 4 Sept. – Anjing yang dipercayai menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Taman Megah Cheras semalam kini ditahan di Pusat Tahanan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Menurut kenyataan MPKj, anjing itu ditahan oleh Unit Tangkapan Anjing Terbiar dan akan diasingkan sehingga siasatan kes selesai serta bagi mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat.
Kenyataan itu memaklumkan selepas tular kejadian itu, MPKj telah menghantar unitnya ke premis pemilik anjing terbabit untuk menjalankan siasatan serta bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.
Pada masa yang sama, MPKj juga melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran di kawasan sekitar.
“MPKj menyeru pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka ke luar premis tanpa pengawasan, dan pemilik yang tidak lagi berhasrat memelihara anjing mereka boleh menyerahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan,” kata kenyataan itu.
Semalam kanak-kanak lelaki itu cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya di sebuah taman perumahan di Batu 9, Cheras, di sini.
Video tular berdurasi 11 saat di media sosial itu memaparkan kanak-kanak terbabit bergelut dengan anjing itu beberapa ketika sebelum berjaya melarikan diri.
Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang juruteknik yang juga abang mangsa, berusia 20 tahun, pada pukul 11.41 malam.
Ketika kejadian, mangsa sedang bermain basikal sebelum seekor anjing tiba-tiba menyerang dan menggigitnya.
“Tindakan pantas beberapa orang jiran yang datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Naazron berkata, mangsa cedera di bahagian kepala dan telah dihantar ke hospital sejurus selepas kejadian dan ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan stabil.
“Berikutan kejadian tersebut, pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menangkap anjing tersebut bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Nnnn
