Rugi RM838,328 angkara ‘phone scam’

TANJONG 4 Sept. – Bekas jurulatih sukan di negeri ini kerugian RM838,328 selepas terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ yang mengaitkannya dengan aktiviti jenayah penyebaran maklumat palsu dan penggubahan wang haram.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima laporan kes berkenaan daripada lelaki berusia 75 tahun itu, semalam, yang mendakwa wang miliknya dipercayai dipindahkan ke akaun pihak ketiga.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Panggilan itu kononnya bagi memaklumkan nama mangsa sudah disenarai hitam serta disyaki terbabit jenayah penyebaran maklumat palsu.

“Mangsa menafikannya sebelum suspek mendakwa lelaki itu terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan meminta butiran peribadi termasuk maklumat akaun bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata, mangsa yang panik, kemudian mengikut segala arahan diberi termasuk memindahkan wang daripada akaun simpanan tetap ke dalam akaun bank atas nama mangsa sendiri sebelum semua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berserta nombor kata laluan diserahkan kononnya bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara (BNM).

Beliau berkata, mangsa diarah memasukkan semua kad ATM ke dalam sampul dan meninggalkannya di kawasan pos pengawal perumahan.

“Selepas serahan dibuat pada 11 Ogos lalu, mangsa ke bank bagi membuat semakan sebelum mendapati semua wang simpanannya dipindah ke dalam akaun pihak ketiga yang tidak diketahui.

“Mangsa tampil membuat laporan polis bagi siasatan lanjut selepas menyedari tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Azizee menasihatkan, masyarakat berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan, terutama yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment