JAKARTA – Sekurang-kurangnya 400 murid prasekolah sehingga sekolah rendah disahkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan percuma di bawah program kerajaan di wilayah Bengkulu, Indonesia Khamis lalu.
Susulan itu, Timbalan Gabenor Bengkulu, Mian berkata, operasi dapur yang terlibat akan dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Saya amat menghargai Bupati Lebong, Azhari dan seluruh pasukan atas tindak balas pantas mereka dalam menangani hampir 400 kes yang diuruskan dengan sangat baik.
“Selepas ini, operasi dapur akan digantung sementara bagi membuka jalan kepada siasatan. Ini adalah bidang siasatan pasukan Badan Gizi Nasional (BGN) dan pihak berkuasa,” katanya seperti dilaporkan media.
Program Makanan Percuma Indonesia yang dilancarkan Januari lalu adalah sebahagian daripada program utama Presiden Prabowo Subianto yang telah diperluas kepada lebih 15 juta penerima setakat ini.
Bagaimanapun inisiatif itu tercemar dengan insiden keracunan makanan besar-besaran di seluruh kepulauan, di mana pada bulan lalu, seramai 365 orang jatuh sakit selepas menikmati makanan percuma di sekolah di Jawa Tengah.
Mian berkata,, tumpuan kerajaan tempatan adalah memastikan semua kanak-kanak yang terlibat cepat pulih dan sihat serta menangani perkara ini tanpa menuding jari.
Nnn
