Mufti, timbalan tiada kaitan video ‘penggali kubur’

KOTA KINABALU 1 Sept. – Mufti dan Timbalan Mufti Negeri Sabah tidak terbabit dalam proses penggalian semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, seperti yang didakwa sebelum ini.

Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan membuat penafian itu susulan penularan sebuah video ‘penggali kubur’ berdurasi 46 saat di media sosial pada Khamis lalu.

Video tular itu mendakwa mufti dan timbalan mufti terhidu haruman pada jenazah berkenaan dan dakwaan itu disifatkan tidak benar.

“Pejabat Mufti Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti terhidu haruman pada jenazah (video) kerana ia adalah tidak benar, tidak berasas dan boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian Sabah.

Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru , pihak terbabit diminta menarik balik kenyataan berkenaan serta membuat permohonan maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut,” katanya.

Pejabat Mufti Negeri Sabah turut berharap penjelasan tersebut dapat menghentikan salah faham berhubung isu berkenaan dan pada masa sama turut disertakan irsyad hukum berkaitan isu kubur arwah Zara Qairina sebagai rujukan umat Islam.

“Menziarahi kubur adalah amalan yang dituntut dalam Islam kerana ia menjadi peringatan kepada setiap umat bahawa mereka pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini untuk menuju ke hari akhirat yang dijanjikan.

“Namun, dalam melaksanakan tuntutan ini, setiap umat Islam hendaklah menjaga adab yang digariskan oleh syariat serta memberi perhatian kepada segala larangan agar amalan tersebut benar-benar mendapat keredaan Allah SWT.

Antara larangan semasa menziarahi kubur termasuklah meratap, meraung, memukul pipi dan meronta-ronta kerana terlalu bersedih.

“Larangan lain ialah duduk atau merangkak di atas kubur, melangkah atau bersandar pada kubur, serta memijak kubur kecuali jika tiada laluan lain untuk menuju ke sesuatu kubur.

“Umat Islam juga dilarang melakukan perbuatan khurafat yang menjejaskan akidah, seperti menjadikan kubur sebagai tempat sembahan atau pemujaan, mengambil keberkatan daripada kubur, serta meniru adat atau amalan agama lain seperti membawa kalungan bunga,” katanya.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut menegaskan umat Islam diseru menghadapi isu berkaitan kubur Allahyarham Zara Qairina dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan agar tidak melampaui batas ajaran Islam.

“Semoga dengan pendekatan yang sederhana dalam setiap tindakan menjadi asbab bagi umat ini diberikan inayah serta hidayah daripada Allah SWT serta sentiasa berada di dalam reda dan maghfirahNya,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment