BARCELONA – Selepas dihalau keluar dari Israel pada Jun lalu, aktivis iklim, Greta Thunberg sekali lagi menyertai flotila (rombongan kapal) yang membawa bantuan bekalan makanan ke Gaza dari Barcelona, hari ini untuk menembusi sekatan laut Israel seterusnya mengagihkan bekalan penting ke wilayah perang.
Aktivis itu sebelum ini cuba menyertai pelayaran bantuan ke Gaza namun kapal mereka dirampas oleh tentera Israel, dan semua aktivis termasuk Thunberg dihalau keluar dari Israel.
Sebelum berlepas, Thunberg berkata kepada orang ramai, Ini adalah misi untuk mencabar sistem antarabangsa yang sangat ganas dan kegagalan menegakkan undang-undang antarabangsa.
Ribuan penyokong berhimpun di pelabuhan Barcelona, dengan mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan ‘bebaskan Palestin’ dan ‘ini bukan perang, ini pembunuhan beramai-ramai’.
Rombongan itu terdiri daripada puluhan kapal dan akan disertai lebih banyak kapal dalam perjalanan.
Israel menegaskan sekatan laut yang dikenakan sejak 2007 adalah bagi menghalang penyeludupan senjata kepada Hamas dan menganggap misi-misi seperti ini sebagai tindakan propaganda menyokong Hamas.
Penganjur flotila juga menyalahkan pemimpin dunia kerana gagal menekan Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, terutamanya selepas laporan badan pemantau global mengesahkan, sebahagian Gaza kini kebuluran.
Ahli jawatankuasa penganjur, Yasemin Acar, berkata flotila itu akan disertai kapal tambahan dari Greece, Itali dan Tunisia.
Nnnn
