Media bukan asing bagi saya – PM

PUTRAJAYA 24 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peranan utama yang dimainkan pengamal media sebagai pencatat sejarah negara tidak boleh dinafikan sama sekali meskipun berdepan pelbagai tentangan, onak dan duri kehidupan.

Malahan dalam kehidupannya, media bukan asing baginya sejak dari awal dahulu sebagai ahli politik sehinggalah kini bergelar Perdana Menteri.

“Moga pengamal media terus menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan rakyat dan negara terus menjadi keutamaan,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Beliau sebelum itu mengadakan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini semalam.

Mengenai sesi dialog hari ini, Anwar berkata beliau singgung mengenai isu semasa dan polisi kerajaan yang menjadi tajuk utama laporan media kendatipun masalah rakyat dan negara yang memerlukan pena pengamal media untuk mencorakkannya.

Pada dialog itu, beliau memaklumkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diletakkan semula di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa memantau unit khas itu yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

“Seperti mana kita tahu, MITRA pun ada masalah masa itu. Jadi, setahun yang lalu, kita (Kerajaan Perpaduan) dah betulkan di mana program lebih telus, tidak menuju kepada badan politik tetapi terus kepada rakyat, pelajar dan sebagainya.

“Oleh kerana itu, keadaan sudah lebih baik, saya boleh pindahkan ke Kementerian Perpaduan tetapi saya tetap pantau,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran MITRA yang diletakkan di kementerian berlainan kerana peraturan ditetapkan, peruntukan diluluskan dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi mengelakkan berlakunya lagi salah guna kuasa atau penyelewengan.

MITRA pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai MITRA pada 2018 dan diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara namun pada September 2022 ia dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Related posts

Leave a Comment