GAZA – Israel mendakwa telah membunuh Abu Obeida, jurucakap utama sayap bersenjata Hamas, dalam satu serangan udara yang dilancarkan ke atas Gaza hujung minggu lalu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyatakan bahawa Abu Obeida telah ‘dihapuskan’ dalam operasi ketenteraan yang menyasarkan kawasan Rimal di Bandaraya Gaza.
Abu Obeida, nama samaran bagi Hudayfa Samir Abdallah al-Kahlut, telah lama menjadi wajah propaganda ketenteraan Hamas melalui kenyataan media, rakaman audio, dan video yang disebarkan kepada dunia Arab dan antarabangsa.
Beliau terkenal dengan penampilan beruniform tentera dan keffiyeh merah yang menutupi wajahnya.
Menurut laporan tentera Israel, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama agensi perisikan Shin Bet dan Komando Selatan, berdasarkan maklumat risikan yang mengenal pasti lokasi persembunyian Abu Obeida.
Sumber Palestin pula berkata, serangan itu turut mengorbankan beberapa penghuni lain di apartmen yang sama.
Bagaimanapun setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kematian Abu Obeida.
Namun, kumpulan itu memberi amaran terhadap penyebaran maklumat palsu yang didakwa sebagai sebahagian daripada ‘perang psikologi’ oleh Israel.
Serangan ini berlaku ketika Kabinet keselamatan Israel bersidang untuk membincangkan perluasan operasi ketenteraan di Gaza, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Bandaraya Gaza.
Nnnn
